KUALA NERUS, 4 Oktober- Susulan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan depan, semua Institusi Pengajian Tinggi dikehendaki bersedia berdepan banjir.
Tumpuan diberi kepada IPT di Pantai Timur yang berisiko terjejas banjir.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata persediaan awal turut merangkumi kaedah pembelajaran hibrid.
Mengulas nengenai pusat pemindahan sementara untuk penuntut, pengurusan IPT diminta membuat pertimbangan sewajarnya bagi mengelak mereka meredah banjir pada waktu malam.
"Saya yakin di peringkat universiti kita khususnya di kawasan Pantai Timur seperti di Terengganu, kita ada dua dan begitu juga dengan politeknik, UiTM sebagainya mereka sudah biasa untuk membuat persiapan-persiapan awal.
"Saya harap kali ini pun mereka dapat membuat persiapan awal. Daripada segi pengajian pelajar-pelajar hari ini kita ada satu lagi pendekatan iaitu hibrid maknanya bagi mereka yang menghadapi masalah tertentu boleh gunakan pendekatan yang akan diputuskan oleh pihak universiti sebagai contoh pembelajaran dalam talian dan sebagainya," katanya.
Terdahulu beliau menghadiri program In Person With Doc Zam di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Nerus.
Sebelum ini METMalaysia menjangkakan MTL bermula November dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.