KUALA LUMPUR, 7 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada 11 November hingga Mac 2024.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan berkata dalam tempoh itu empat hingga enam hujan lebat dijangka berlaku.
"Semasa fasa awal MTL dari November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia," katanya menerusi kenyataan itu.
Jelasnya, hujan lebat berterusan boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan kawasan kerap banjir dan sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut, risiko banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.
"Manakala, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024 dijangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan. Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba," katanya.
Situasi itu berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024.