KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQA) ke-64 mengangkat martabat umat Islam ke tahap lebih mulia dan membanggakan.
Beliau ketika menyampaikan ucapan ketika majlis perasmian itu menyifatkan MTHQA membuka peluang dari segi peningkatan kefahaman dan penambahan iltizam atau komitmen untuk melaksanakan cita-cita Islam.
Selain itu beliau menyifatkan kerjasama semua pihak diperlukan dalam menghindari serta menoktahkan permusuhan antara kaum dan agama. Perkara itu sekali gus akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam kalangan negara Islam.
Anwar juga menegaskan, kecelaruan dan perpecahan dalam kalangan negara Islam akan membuka ruang kepada musuh untuk memulakan serangan, penghinaan atau penjajahan.
"Dalam Kerajaan MADANI ini kita mulakan dengan memupuk semangat perpaduan kental dalam kalangan kita untuk menjamin supaya ada persefahaman dan perdamaian antara umat Islam dan bukan Islam di negara kita.
"...kerana itu menjadi prasyarat bagi kita membangunkan ekonomi yang mampan. Selain itu kita dapat memberi pengertian dalam ekonomi kerana pengukuhan ekonomi memberi keselesaan dan jaminan kepada rakyat terutama rakyat miskin bandar dan desa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di ibu negara.
Dalam pada itu Anwar mahu anjakan dalam melahirkan pelajar-pelajar tahfiz yang berkemahiran dan berketerampilan termasuk dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI).
"bilangan pelajar tahfiz secara rasmi dan tidak rasminya mencecah 200,000 pelajar. Selain kekuatan akhlak, pelajar tahfiz juga perlu diberikan peluang dalam profesional dalam bidang tenaga, kegiatan teknikal, digital dan AI," katanya lagi.
Pada masa sama negara juga memerlukan kepakaran khususnya dalam bidang teknologi yang giat berkembang.
MTHQA ke-64 disertai 92 orang peserta dari 71 buah negara. Peserta tilawah seramai 53 orang (39 lelaki dan 14 perempuan) dari 41 buah negara dan peserta hafazan seramai 39 orang (26 lelaki dan 13 perempuan) dari 36 buah negara.
Dua peserta tilawah akan mewakili Malaysia iaitu Mohamad Husaini Mahmur (Negeri Sembilan) dan Nor Hidayah Binti Abd Rahman (Terengganu).
Manakala peserta hafazan pula akan diwakili Muhammad Rifae’i Mat Zuki (Kedah) dan Putri Aminah Mohd Hanif (Kelantan).