KUALA LUMPUR, 27 September – Persekutuan Pelancongan Malaysia (MTF) menggesa kerajaan memperuntukkan bajet pelancongan yang lebih komprehensif menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Ini termasuk insentif berkesan, sokongan digital, pembangunan tenaga kerja, peningkatan infrastruktur serta bantuan kepada pemain industri seperti hotel, pengusaha pelancongan, pemandu pelancong dan lain-lain.
Presidennya, Dr. Seri Ganesh Michiel berkata, walaupun Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) dan Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) di bawah Tourism Malaysia berperanan penting dalam menyokong penyertaan pameran serta promosi kebudayaan, namun ia masih belum memadai untuk memastikan kesiapsiagaan industri.
“Penyertaan dalam pameran itu baik, tetapi ia tidak akan berjaya jika pemain industri tidak mempunyai bahan promosi, kandungan digital atau produk berkualiti untuk diketengahkan.
"Malah, pengusaha kecil seperti hotel bajet dan ejen pelancongan tempatan sering kekurangan dana untuk membuat persediaan. Tanpa bantuan terus, potensi mereka tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
MTF mencadangkan kerajaan memperkenalkan Geran Promosi Langsung bagi pengusaha pelancongan berdaftar dan berlesen.
Geran itu akan membantu penyediaan bahan promosi, pengukuhan penjenamaan serta meningkatkan pasaran domestik dan antarabangsa.
Menurut MTF, pendedahan digital produk pelancongan amat penting, termasuk pembiayaan pemasaran dalam talian dan kempen media sosial.
Katanya, dalam landskap pelancongan masa kini, kehadiran digital bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk menembusi pasaran global.