MRL lantik Maxis, penyedia infrastruktur rangkaian 4G, 5G sepanjang jajaran ECRL

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyempurnakan perasmian peluncuran Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco) Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen ECRL KotaSAS/BERNAMA

KUANTAN, 11 Februari -Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) melantik Maxis Berhad (Maxis) sebagai penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih 4G dan 5G di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

RINGKASAN BERITA AI
  • MRL lantik Maxis sebagai penyedia infrastruktur rangkaian 4G dan 5G sepanjang jajaran ECRL.
  • Kementerian Komunikasi dan MCMC menggalakkan perkongsian infrastruktur antara lima pengendali utama.
  • Rangkaian bersepadu akan tingkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan untuk penumpang ECRL mengikut MSQoS.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu membolehkan inisiatif strategik tersebut dapat direalisasikan secara teratur, sekali gus memberikan impak tinggi kepada negara.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan infrastruktur, malah membolehkan penyedia perkhidmatan memberi tumpuan meningkatkan pengalaman pengguna serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Majlis pada hari ini bukan hanya satu acara penyerahan surat pelantikan. Sebaliknya menandakan satu lagi langkah penting kerajaan dalam usaha membina masa depan digital negara selari dengan pembangunan infrastruktur fizikal berskala nasional khusus melalui projek pembangunan berimpak tinggi seperI ECRL,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU & E-Loco Projek ECRL dan Penyerahan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL di Stesen KotaSAS, di sini.

Sementara itu, Datuk Fahmi berkata Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan pendekatan kolaboratif yang melibatkan lima pengendali rangkaian mudah alih utama negara berasaskan prinsip perkongsian infrastruktur.

“Inisiatif ini juga selari dengan dasar kerajaan iaitu ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’ yang bertujuan memastikan liputan Internet tersedia di sepanjang jalan raya, lebuh raya serta laluan pengangkutan utama negara, termasuk jajaran ECRL,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan memperkenalkan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali yang akan dikongsikan bersama penyedia perkhidmatan lain seperti CelcomDigi, Telekom Malaysia dan YTL.

Datuk Fahmi berkata, pendekatan bersepadu itu akan memberikan manfaat kepada penumpang ECRL dan memperkukuh liputan rangkaian di sepanjang koridor ECRL merangkumi kawasan bandar, pembangunan bandar baharu berorientasikan transit, kawasan pinggir bandar serta luar bandar.

“Dengan siapnya infrastruktur rangkaian ini kelak, Maxis, CelcomDigi, U Mobile, YTL dan Telekom Malaysia akan dapat menyediakan perkhidmatan 4G dan 5G kepada penumpang ECRL dengan tahap kualiti liputan yang mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS),” katanya.