
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Aspirasi Mahasiswa MADANI bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi seruan kepada mahasiswa untuk tampil sebagai barisan hadapan dalam mendepani isu-isu kritikal masyarakat.
- MPP UUM jalankan kempen Sinar Syawal bantu gelandangan melalui kolaborasi dengan NGO Food For Gelandangan.
- Kempen mengumpulkan sumbangan tunai hampir RM2,000 serta lebih 300 helai pakaian terpakai.
- Inisiatif memberi pendedahan mahasiswa kepada realiti cabaran komuniti miskin bandar di Kuala Lumpur.
- Program bertujuan membentuk empati dan meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan pelajar.
Di ibu kota, isu gelandangan dan kemiskinan bandar terus menjadi perhatian serta menuntut keprihatinan kolektif pelbagai pihak.
Menyahut seruan tersebut, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) menggerakkan inisiatif kebajikan menerusi kolaborasi bersama Food For Gelandangan (FFG), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang aktif membantu komuniti gelandangan dan miskin bandar sekitar Kuala Lumpur.
Melalui kempen Sinar Syawal yang dilancarkan, MPP UUM berjaya mengumpulkan hampir RM2,000 sumbangan tunai serta lebih 300 helai pakaian terpakai hasil sokongan warga universiti.
Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, mahasiswa perlu berani keluar daripada zon selesa dan mendekati realiti sebenar masyarakat.
“Kolaborasi bersama FFG membuka ruang kepada mahasiswa untuk melihat sendiri cabaran yang dihadapi komuniti miskin bandar di tengah-tengah kemajuan metropolitan Kuala Lumpur. Inisiatif Sinar Syawal ini membuktikan peranan mahasiswa melangkaui batas akademik,” katanya.
Beliau menambah, program seumpama itu bukan sahaja membantu dari sudut material, malah mampu membentuk empati serta meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa.