fb fb fb fb fb

MPOB: Peruntukan Belanjawan 2025 tingkat daya saing industri sawit

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Pengumuman Belanjawan 2025 yang merangkumi insentif cukai dan bantuan tanam semula berupaya memberi kegembiraan kepada penggiat industri sawit dan peningkatan daya saing industri itu.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kenaikan nilai ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) semasa, merupakan langkah positif oleh Kerajaan dalam menyokong sektor sawit.

"Peningkatan WPL menerusi Belanjawan 2025, daripada RM3,000 kepada RM3,150 satu tan bagi Semenanjung dan RM3,500 kepada RM3,650 satu tan bagi Sabah dan Sarawak, merupakan usaha awal yang dapat mengurangkan tekanan kenaikan kos pengeluaran minyak sawit," menurut kenyataan beliau pagi tadi.

"Langkah ini memberikan ruang kepada syarikat perladangan beroperasi dengan lebih efisien, terutamanya bagi berdepan pasaran minyak sayuran global yang kompetitif," katanya.

Dengan kenaikan nilai ambang WPL, ia membolehkan syarikat merancang pelaburan dengan tumpuan kepada inisiatif yang bersifat jangka panjang.

Ini termasuk pelaburan strategik dalam penanaman semula pokok sawit tua yang kian meningkat jumlah keluasan yang seterusnya mampu meningkatkan produktiviti hasil
ladang.

"Langkah ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam menyokong sektor sawit melalui pendekatan yang seimbang, sambil memberi ruang kepada syarikat untuk
terus berkembang. Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan dalam memastikan industri sawit kekal mampan," katanya.

Pengumuman lanjutan insentif galakan kepada pekebun kecil sawit persendirian untuk melaksanakan tanam semula dengan benih sawit berkualiti tinggi merupakan
langkah proaktif Kerajaan yang mengiktiraf sumbangan sektor pekebun kecil sawit.

Peruntukan RM100 juta dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,500 orang pekebun kecil melibatkan kawasan seluas 5,900 hektar.

"Pelaksanaan insentif tanam semula menggalakkan pekebun kecil untuk menanam semula pokok sawit tua yang kurang produktif, sekali gus meningkatkan hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil," katanya.

Langkah ini memperkukuh sektor sawit negara dan kestabilan ekonomi pekebun kecil dalam jangka masa panjang.

Pengumuman peruntukan sebanyak RM65 juta bagi menangkis salah tanggap mengenai minyak sawit di peringkat antarabangsa, khususnya dari Kesatuan Eropah, merupakan langkah strategik untuk memperkukuh pasaran minyak sawit Malaysia.

"lnisiatif ini bukan sahaja membantu dalam mempergiat kempen anti-minyak sawit malahan memperbetul salah tanggapan mengenai minyak sawit. Inisiatif ini juga meliputi usaha meningkatkan kelestarian sektor sawit melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," menurutnya.

"Pensijilan MSPO amat penting dalam meningkatkan reputasi minyak sawit Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa. Ia membuktikan komitmen negara dalam
memastikan industri sawit mengamalkan amalan mampan yang sejajar dengan piawaian antarabangsa," jelas beliau.

Tambah beliau, MPOB melihat keperluan untuk peruntukan tersebut digunakan bagi memperkasa pekebun kecil persendirian melalui Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC).

"Melalui pendekatan SPOC, pekebun kecil mendapat sokongan khidmat nasihat MPOB dalam amalan lestari yang selaras dengan prinsip kemampanan. Pekebun kecil memainkan peranan yang signifikan dalam rantaian bekalan minyak sawit Malaysia," katanya.

Sementara itu, inisiatif Kerajaan menyediakan galakan cukai automasi serta menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan pula, dapat menarik minat pekerja tempatan berkecimpung dalam kerjaya di sektor perladangan.

"Galakan cukai automasi akan menggalakkan syarikat perladangan sawit menggunakan teknologi moden seperti dron dan kecerdasan buatan (AI), yang mampu meningkatkan produktiviti ladang dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Kenaikan gaji minimum adalah langkah yang positif yang akan meningkatkan pendapatan pekerja yang terlibat dalam rantaian industri sawit," katanya.

Pengenalan automasi dan gaji yang lebih kompetitif berupaya memperkukuh daya saing industri sawit Malaysia secara keseluruhan.

Trainee