KUALA LUMPUR, 12 Disember- Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membincang dan menyelaras hala tuju penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan sehingga 30 September lalu, lebih 400,000 unit kediaman mampu milik sedang dilaksanakan dengan lebih 200,000 unit diperingkat siap dan sedang dibina.
Dalam pada itu, mesyuarat juga sedang mempertimbang empat kertas kerja melibatkan tiga kertas pertimbangan dan satu kertas pemakluman.
"Ia melibatkan Kertas Pembentangan berkaitan Pelaksanaan Rumah Mampu Milik, Perumahan Inklusif Madani dan Cadangan Penubuhan Tabung Perumahan Negara serta Kertas Pemakluman mengenai Kesan Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke atas Pinjaman Perumahan," menurut kenyataan hari ini.
Sementara itu, Kajian Dasar Perumahan Negara yang sejajar dengan kerangka dasar MADANI dan Ekonomi MADANI akan dilaksanakan bagi memacu pertumbuhan industri perumahan di Malaysia.
Konsep Perumahan Inklusif MADANI akan dijadikan teras di dalam pembangunan perumahan mampu milik pada masa hadapan.
Selain itu, cadangan penubuhan Tabung Perumahan Negara (TPN) bagi meningkatkan keupayaan dan aksesibiliti rakyat memiliki rumah khususnya golongan muda turut diteliti.
"Kerajaan komited menjayakan agenda pemilikan kediaman sebagai keutamaan.
"(Selain) menyediakan segmen perumahan swasta sebagai alternatif kepada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan yang masih belum mampu memasuki perumahan swasta, namun tidak layak untuk menyertai program perumahan sosial yang disediakan kerajaan," tambahnya.
Justeru, peranan dan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pemaju Swasta amat penting untuk menjamin kelangsungan dasar-dasar dan inisiatif Kerajaan supaya dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada rakyat.
"MPMMN Bilangan 1 Tahun 2023 pada 11 Disember lalu (semalam) turut dihadiri oleh YAB Menteri-Menteri Besar/ Ketua-Ketua Menteri/ Exco Perumahan Negeri, YB Menteri-Menteri Kabinet serta wakil agensi Penyedia Perumahan yang terdiri daripada Agensi Kerajaan Persekutan, Negeri dan Badan Berkanun serta pihak Pemaju Perumahan Swasta," katanya.