PUTRAJAYA, 28 Februari- Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) disaran melakukan perubahan berterusan bagi tujuan penambahbaikan berikutan pertambahan bilangan kes kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Sebanyak 5,463 kes dikendalikan tahun lalu, selain menerima 1,822 kes baharu berbanding 1,657 pada tahun sebelumnya.
"Reformasi itu ialah satu proses yang akan berterusan. Saya ada tiga fokus utama untuk Mahkamah Perusahaan iaitu, pertama kita ingin memendekkan tempoh masa proses mahkamah. Keduanya mengurangkan kes tertunggak.
"Ketiganya menambahbaik kemudahan dan fasiliti mahkamah. Jadi ini merupakan tiga strategi yang menjadi fokus utama kementerian pada tahun ini," katanya selepas merasmikan Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan MPM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di salah sebuah hotel di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Meneteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.