
AYER KEROH, 3 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memperuntukkan sebanyak RM155,000 bagi melaksanakan 10 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
- MPHTJ memperuntukkan RM155,000 untuk 10 program CSR sepanjang Ramadan bagi kebajikan masyarakat setempat.
- Inisiatif merangkumi meraikan anak yatim serta membantu golongan asnaf dan B40 dalam kawasan pentadbiran.
- Program termasuk pemberian sumbangan seperti pakaian raya kepada 80 anak yatim dan bantuan kepada 60 asnaf.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan termasuk meraikan anak yatim serta membantu golongan asnaf dan B40 di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Beliau berkata program yang dirangka bertujuan menyantuni masyarakat setempat agar golongan tersebut turut merasai kemeriahan Ramadan.
“Dan sepanjang Ramadan ini, kita ada beberapa program lain Pada 7 hari bulan, insya-Allah kita akan meraikan anak-anak yatim dan yang kurang berkemampuan seramai 80 orang dan 60 asnaf. Dimana kita akan memberi sedikit sumbangan untuk anak-anak yang kurang berkemampuan, kita akan memberi sumbangan baju raya”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramadan Berkat MPHTJ dan SPRM di Ayer Keroh, Melaka.