MoU RM100 juta dimeterai lahirkan 22,000 pakar AI

Datuk Seri Ramanan menyaksikan pertukaran MOU antara TalentCorp dan EY Malaysia dalam Majlis Pelancaran Jelajah AI MyMahir.

SUNGAI BULOH, 17 Januari– Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM100 juta dimeterai antara TalentCorp dan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY Malaysia) untuk melatih dan mempersiapkan 22,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran Kecerdasan Buatan (AI), sekali gus memperkasakan kesiapsiagaan AI Nasional.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOU RM100 juta melatih dan mempersiapkan 22,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran AI melalui kerjasama TalentCorp dan EY Malaysia.
  • Jelajah AI MyMahir diperluas ke seluruh negara, menjadikan Sungai Buloh lokasi pelancaran kelima program itu.
  • Latihan AI disediakan percuma, terbuka kepada semua lapisan umur bagi memperkasakan kesiapsiagaan AI negara.

Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata pelaksanaannya melibatkan perluasan Jelajah AI MyMahir ke seluruh negara serta inisiatif lain TalentCorp.

“AI sekarang adalah masa depan. Banyak tenaga kerja sekarang memerlukan kemahiran AI. Jadi latihan AI memastikan kita dapat tenaga mahir yang diperlukan.

“Kelas AI ini di luar harganya boleh mencecah anggaran RM5,000, tetapi TalentCorp menyediakan kelas ini secara percuma. Justeru, saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan merebut peluang ini kerana ia terbuka setiap lapisan umur seperti makcik, pakcik, pelajar dan suri rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran MOU antara TalentCorp dan EY Malaysia dalam Majlis Pelancaran Jelajah AI MyMahir di sini hari ini.

Program Jelajah AI MyMahir hari ini sekali gus menyaksikan Sungai Buloh menjadi lokasi kelima pelancaran inisiatif tersebut selepas Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar dan Bangi.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Yusof, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi dan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Edward Ling.