KUALA LUMPUR, 6 November – Kerajaan masih membuka ruang kepada mana-mana ahli parlimen pembangkang yang ingin berunding secara individu mengenai memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan kumpulan ahli parlimen pembangkang untuk menolak MoU tersebut adalah pilihan mereka.
"Jika ada ahli parlimen individu dari pihak pembangkang yang ingin berbincang, saya terbuka. Namun, secara kelompok, mereka telah menyatakan penolakan. Itu adalah keputusan pihak parti tersebut," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat, di sini.
Tambah Fadillah, tugas beliau adalah untuk mengadakan rundingan namun tidak boleh memaksa mana-mana pihak yang enggan meneruskannya.
Setakat ini, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang memberi maklum balas berhubung rundingan MoU tersebut.
Dalam perkembangan lain, Fadillah turut menjelaskan bahawa imbuhan yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) adalah berdasarkan prestasi syarikat.
Menurutnya, PHB berjaya meningkatkan keuntungan kasar dan operasi masing-masing lebih RM317 juta pada tahun kewangan 2022 dan 2023, hasil daripada inisiatif transformasi syarikat yang menyokong pertumbuhan dan kelestarian jangka panjang.