fb fb fb fb fb

MOTAC Sabah lancar talian hotline kepada pelancong mangsa tipu

FOTO HIASAN

KOTA KINABALU, 6 Jun - Talian hotline kepada pelancong di Sabah akan dilancarkan, bagi yang berdepan masalah semasa berada di negeri itu terutama menjadi mangsa penipuan sewa inap desa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata talian itu akan dikendalikan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Katanya, menerusi perkhidmatan tersebut agensi itu boleh mengambil tindakan dengan segera apabila menerima panggilan daripada pelancong termasuk menghantar pasukan untuk menyiasat perkara itu.

"Aktiviti seumpama itu (penipuan sewa inap desa) memberi kesan kepada kita, kes sebegini akan dirujuk kepada STB. Sebelum ini kita kena tunggu pihak polis, namun sekarang kita akan wujudkan talian hotline. Akan ada pegawai mengendalikan talian bagi menguruskan krisis atau sebarang kejadian tidak diingini.

"Sebarang masalah yang anda hadapi selaku pelancong di Sabah, anda boleh menghubungi talian hotline ini," kata Christina Liew dalam sidang media sempena Persidangan Wanita Antarabangsa (IWC) 2024, di sini.

Beliau mengulas berkaitan penipu sewa inap desa yang secara terbuka mengiklankan perkhidmatan menerusi media sosial seperti Facebook dan pihak Polis Diraja Malaysia di negeri ini turut mengingatkan orang ramai tentang penipuan terbabit.

TETITIA YUSOFF