CYBERJAYA, 9 September – Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks "EV", khusus untuk kenderaan sifar emisi (ZEV).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata bidaan untuk NPI 'EV' akan dibuka melalui Sistem JPJeBid bermula hari ini hingga 13 September, pukul 10 malam.
"Keputusan bidaan akan diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas proses bidaan tamat. NPI 'EV' ini hanya boleh didaftarkan untuk kenderaan ZEV dan tidak boleh digunakan untuk kenderaan bukan ZEV,” katanya pada majlis pelancaran JPJePlate, di sini.
Tambah Loke, pemilik kenderaan ZEV yang tidak berminat dengan NPI 'EV' masih boleh menggunakan nombor siri negeri yang biasa.