KUALA LUMPUR, 26 Februari – Kementerian Pengangkutan (MOT) terus memperketat tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang gagal mematuhi Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP), dengan jumlah penggantungan lesen pengendali dan permit kenderaan tertinggi direkodkan pada tahun 2024.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sebanyak 247 lesen pengendali telah digantung pada tahun ini, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 101 kes pada 2023 dan 94 kes pada 2022.
"MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah menggantung 23 Permit kenderaan pada tahun 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya.
"Selain itu, MOT melalui APAD telah membatalkan tujuh lesen pengendali antara 2022 dan 2024, berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa antara syarikat yang dikenakan tindakan termasuk sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang memiliki lebih 1,000 kenderaan.
Penggantungan lesen itu memberi kesan besar kepada operasi syarikat berkenaan sehingga mereka terpaksa membuat pengumuman rasmi di Bursa Malaysia.
Loke menegaskan bahawa MOT akan terus memperketat penguatkuasaan, termasuk terhadap kenderaan berat yang melebihi muatan, memperketat prosedur pemeriksaan berkala, dan meningkatkan pematuhan ICOP dalam kalangan pemain industri.
Sementara itu ketika soalan tambahan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir mengenai tindakan terhadap pemilik kargo yang membenarkan barangan mereka diangkut dengan muatan berlebihan, Loke menjelaskan kerajaan sedang mengkaji dasar untuk memperluaskan tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat berkenaan.
"Dan memang ada beberapa kes yang telah pun kita bawa ke mahkamah untuk memberikan satu tanda ataupun mesej yang kuat kepada pengendali-pengendali ini supaya tidak membawa had muatan yang berlebihan. Jadi ini mesej Yang cukup tegas", katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa MOT tidak akan berkompromi terhadap syarikat pengangkutan yang melanggar peraturan.
Di bawah Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, serta penggantungan lesen dan pelucutan hak kenderaan.