fb fb fb fb fb

MOSTI sasar 20 Ruang Daya Cipta di seluruh negara menjelang 2025

Ruang Daya Cipta (RDC) di Sabak Bernam/Foto RTM

SABAK BERNAM, 5 Mei - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 20 Ruang Daya Cipta (RDC) di seluruh negara menjelang tahun 2025.

Menterinya Chang Lih Kang berkata, sasaran itu dibuat selepas mendapat maklum balas positif daripada penduduk luar bandar yang menggunakan kemudahan disediakan di pusat berkenaan.

"Kami menyajikan kemahiran yang berbeza, terpulang dan bergantung kepada kawasan setempat.

"Seperti di Sabak Bernama, lebih kepada sawah padi semula jadi, jadi kita ada hiasan yang dibuat daripada sisik ikan. Ada juga jerami padi dan bagaimana kita nak gunakan jerami padi itu untuk membuat sesuatu produk," katanya selepas ditemui media di Majlis Perasmian Ruang Daya Cipta Sabak Bernam di Ruang Daya Cipta di sini, hari ini.

Selain di Sabak Bernam, MOSTI telah membangunkan RDC di Manong (Perak), Sandakan (Sabah), Langkawi (Kedah), Tumpat (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Bera (Pahang), PKD Layang-Layang dan Kota Tinggi (Johor) serta Miri (Sarawak).

RDC yang dibangunkan melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) merupakan sebuah program pembudayaan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi dengan membangunkan prototaip produk inovasi di peringkat pra-pengkomersialan dan mereplikasi projek inovasi ke komuniti lain.

RDC juga menggabungkan elemen automasi dan pembengkelan seperti bengkel mesin, kraftangan, peralatan mini studio dan sudut inovasi yang boleh digunakan secara percuma kepada orang awam.

Program ini dijangka dapat meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti setempat melalui aktiviti pengkomersialan.

GRACE AISYAH KEDAYAN