fb fb fb fb fb

Mohd Salleh dinobat Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang 2024

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua kiri) menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM7,000, trofi, hadiah pusingan dan sijil penghargaan kepada Mohd Salleh Man (dua kanan)

GEORGE TOWN, 16 September- Bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd Salleh Man dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang 2024 pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang diadakan di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Mohd Salleh, 70, yang juga bekas Pengerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan bekas guru besar menyatakan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut yang tidak disangka-sangka.

Beliau menegaskan bahawa gelaran "Tokoh Maulidur Rasul" membawa tanggungjawab besar dan beliau berazam untuk terus menyumbang jasa serta khidmat kepada masyarakat.

"Alhamdulillah atas kurniaan ini, ia memberi semangat kepada saya untuk terus menyumbang bantuan dan nasihat kepada yang memerlukan," katanya kepada pemberita pada majlis tersebut.

Beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM7,000, trofi, hadiah pusingan dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Sementara itu, Tun Ahmad Fuzi dalam ucapan beliau menegaskan bahawa Sambutan Maulidur Rasul tidak sepatutnya dilihat sekadar program rasmi agama.

"Sebagaimana kita sedia maklum, Rasul diutuskan oleh Allah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Justeru, adalah wajar kita menyedari akhlak mulia yang ditonjolkan Rasul. Kesempurnaan akhlak dapat dilihat melalui perilaku baginda dalam sebesar-besar urusan kehidupan hingga sekecil-kecil perkara termasuklah cara baginda berkomunikasi," katanya.

Dalam perarakan pagi tadi, lebih 1,000 peserta dari 43 kontinjen jabatan kerajaan dan swasta turut mengambil bahagian.

Persembahan nasyid, pentomin dan ceramah khas oleh Datuk Mohd Kazim Elias bertajuk "Menjiwai Kepimpinan Rasulullah" menjadi antara pengisian majlis tersebut.

Kemeriahan samburan telahpun mula dirasai sejak Sabtu lepas dengan pelbagai aktiviti keagamaan dianjurkan termasuk Karnival Malam Cinta Rasul yang berlangsung di lokasi sama.

Aktiviti selawat dan qasidah secara besar-besaran, pertandingan nasyid serta pencak silat menjadi tarikan utama karnival tersebut.

SITI AISHAH MD ISA