fb fb fb fb fb

Mohd Rosli Ketua Pengarah Maritim Malaysia baharu

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 September - Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ketujuh, berkuat kuasa semalam.

Maritim Malaysia dalam kenyataan memaklumkan Mohd Rosli mempunyai pengalaman hampir tiga dekad dalam bidang keselamatan maritim serta memiliki kepakaran merancang pelaksanaan operasi maritim khususnya menangani jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang, penyeludupan dadah dan kontraban serta rompakan di laut.

“Antara kejayaan terbesar di bawah kendalian beliau ialah Ops Pelantar Merah yang menghasilkan tangkapan berprofil tinggi sekali gus mengurangkan kadar jenayah di sekitar pelantar minyak di perairan negara.

“Terbaharu beliau sedang mengetuai perancangan bagi membangunkan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung dalam usaha meningkatkan kebolehcapaian radar bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal mencurigakan di perairan negara khususnya di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Maritim Malaysia, Mohd Rosli seorang yang komited dalam menjalankan tugas dan beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting dalam agensi itu termasuk sebagai Pengarah Maritim Negeri Selangor, Pengarah Perisikan Maritim Malaysia, Pengarah Perancangan Strategik Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia.

“Melalui pelantikan ini, beliau diharap dapat membawa sinergi baharu dalam memperkasakan lagi peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama dalam menguatkuasakan undang-undang serta menyelamat nyawa dan harta benda di laut demi kesejahteraan perairan negara,” menurut agensi itu. - BERNAMA

Trainee2