fb fb fb fb fb

Modul Ombudsman Malaysia, lebih telus dan cekap

M.Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Satu modul Ombudsman Malaysia yang menggabungkan Biro Pengaduan Awam dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan sedang dipertimbang penubuhannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M.Kulasegaran berkata ia bagi memastikan penubuhannya sebagai badan yang menerima dan meneruskan aduan berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan awam Persekutuan; dapat bergerak secara bebas, lebih telus, cekap dan berakauntabiliti.

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi dan Undang-Undang yang diadakan pada 29 April 2024 memutuskan supaya sesi libat urus holistik dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan bagi menentukan mekanisme penubuhan dan pelaksanaannya.

Keputusan itu turut dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Jun lalu.

"Kini, proses pelantikan ahli jawatankuasa daripada setiap agensi yang terlibat bagi tujuan sesi libat urus holistik sedang berjalan.

"Sesi libat urus ini penting untuk memastikan pandangan dan keperluan semua pihak berkepentingan diambil kira dalam proses penubuhan Ombudsman Malaysia secara telus dan menyeluruh untuk kepentingan rakyat dan negara," katanya di Dewan Rakyat di sini bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM