PUTRAJAYA, 5 Jun - Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI, aspirasi ke arah memupuk kasih sayang, perpaduan serta semangat cintakan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, modul yang diperkenal hari ini memberi peluang kepada golongan muda mengenali sejarah negara sekali gus menghargai jasa pemimpin dan pejuang terdahulu.
Katanya, anak muda juga perlu menyusuri sumbangan pemimpin lama kerana kekuatan yang mereka ada sebelum ini boleh digunakan untuk mengangkat lagi martabat negara.
Selain menanam kecintaan kepada negara ia juga dapat menjadi asas untuk membina negara bangsa yang lebih dinamik dengan kekuatan baharu, peribadi unggul dan semangat juang, bagi mendepani cabaran semasa dengan akhlak, etika dan nilai-nilai yang baik.
"Saya mengajak rakan-rakan balik kepada landasan, mahu angkat negara mesti dengan keyakinan, mesti dengan semangat perpaduan, mesti dengan kecintaan kepada negara, mesti keyakinan bahawa negara ini mampu diangkat sebagai negara yang hebat, Malaysia di mata dunia," kata Anwar.
Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani, di sini.
Anwar berkata, modul itu adalah berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan ia diperkemas mengikut peredaran masa khususnya dalam aspek pendigitalan.