
KUALA LUMPUR, 21 Februari – Program Mobile School terus membuka peluang kepada anak-anak Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk mengelak keciciran pendidikan, termasuk pelaksanaan terbaharu di Perumahan Awam Desa Rejang yang menerima tajaan Kementerian Kewangan Malaysia menerusi geran Community @ Uni MADANI.
- Mobile School bantu anak-anak PPR elak keciciran pendidikan melalui lima modul utama yang membina keyakinan dan hala tuju.
- Modul fokus pada nilai diri, penetapan cita-cita, persediaan kerjaya dan pengubahan mindset berdaya saing.
- Cabaran utama ialah menarik lebih ramai peserta; rancangan menambah baik dan meluaskan modul berdasarkan maklum balas.
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian MADANI Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zahid Zamri berkata, program itu dilaksanakan menerusi lima modul utama yang dirangka khusus bagi membina keyakinan dan hala tuju peserta.
Antara modul berkenaan ialah sesi taklimat dan suai kenal, pengukuhan jati diri melalui pendekatan ‘diriku sangat berharga’, serta bimbingan melakar destinasi kejayaan bagi membantu peserta menetapkan cita-cita masa depan.
Program turut menampilkan sesi motivasi bersama ikon jemputan sebagai inspirasi kepada peserta, sebelum diakhiri dengan rumusan keseluruhan bagi memperkukuh pemahaman mereka terhadap pengisian yang disampaikan.
Menurutnya, konsep pembelajaran yang diketengahkan memberi penekanan kepada belajar sayangi diri sendiri, mengejar cita-cita, fokus kepada sasaran pekerjaan apabila dewasa kelak dan juga belajar tentang bagaimana untuk mengubah mindset atau pemikiran yang lebih berdaya saing.
“Cuma cabaran yang lain adalah dari segi menarik peserta-peserta. Seperti mana yang dimaklumkan tadi kami hanya mendapat 35 peserta anak-anak tetapi jumlah penduduk di sana sebanyak 18,000 di Perumahan Awam Desa Rejang PPR terbesar di Semenanjung. Jadi itulah antara cabaran untuk menarik lagi ramai anak-anak masuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia.
Sehubungan itu, pihaknya merancang untuk menambah baik dan memperluas modul sedia ada berdasarkan maklum balas peserta bagi memastikan kesinambungan program lebih berkesan.