fb fb fb fb fb

MLNG PETRONAS sumbang komputer riba, mesin cetak kepada Hospital Bintulu dan Pejabat Kesihatan Bintulu

Jonny Pang menyerahkan sumbangan komputer riba kepada Penolong Pengarah (Pengurusan) Hospital Bintulu, Nor Izzah Marzuki

BINTULU, 6 Februari- Hospital Bintulu dan Pejabat kesihatan Bahagian Bintulu telah menerima sumbangan sebanyak 75 unit komputer riba dan 35 unit mesin pencetak daripada Malaysia LNG Sdn. Bhd (MLNG), anak syarikat Petroleum Nasional (PETRONAS) hari ini.

Sumbangan bawah program Memacu Kehidupan Tahun Baharu Cina 2024 itu menyaksikan Hospital Bintulu menerima masing-masing 45 unit komputer riba dan 30 unit mesin pencetak manakala Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu pula menerima sumbangan 30 unit komputer riba dan 15 unit mesin pencetak.

Program Memacu Kehidupan atau ‘Uplifting Lives’ anjuran MLNG itu merupakan salah satu program tahunan PETRONAS dalam menyantuni masyarakat setempat dan merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berteraskan pembangunan masyarakat dan kesejahteraan.

Simbolik sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming kepada Penolong Pengarah(Pengurusan) Hospital Bintulu, Nor Izzah Marzuki mewakili kedua-dua penerima.

Sementara itu, Johnny Pang bersama tiga Pengurus Besar Malaysia LNG Sdn Bhd, Jamuri Zen, Mohd Fariz Rose Dee dan Khairul Ariffin Idris meluangkan masa melawat Rumah Bezaleel (Bezaleel Home) Yayasan Pengguna Negara Malaysia Bahagian Bintulu.

Dalam kunjungan berkenaan, Johnny Pang dan rombongan MLNG diberikan taklimat ringkas mengenai Rumah Bezaleel oleh Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia Bahagian Bintulu, Kapitan Dr Simon Hong Yu Liing.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE