fb fb fb fb fb

MITI optimis capai kesepakatan ASEAN dalam Pemukiman AEM

FOTO FACEBOOK Tengku Zafrul

DESARU, 27 Februari- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimis mencapai kesepakatan dengan negara-negara ASEAN dalam perbincangan yang diperhalusi menerusi Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31.

Perbincangan meliputi peningkatan tarif diumumkan Amerika Syarikat terhadap tiga negara ASEAN serta prospek pertumbuhan global.

Selain itu, rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf dan dimuktamadkan pada Mac ini, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) serta keahlian Timor-Leste turut menjadi agenda utama.

Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata agenda tersebut penting dalam merancakkan ekonomi serantau.

"Memang ada lagi perbincangan yang perlu diperhalusi kerana setiap negara mempunyai isu tersendiri. Negara-negara ASEAN berada pada peringkat berbeza dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita, justeru industri masing-masing, terutamanya dalam ekonomi digital, memerlukan perbincangan yang adil," katanya pada sidang media pemukiman itu di sini dekat Kota Tinggi hari ini.

Beliau menegaskan negara anggota ASEAN memerlukan penyelesaian kolektif dalam mendepani cabaran global demi kestabilan ekonomi rantau ini.

Antara cabaran utama termasuklah ketegangan geopolitik, ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi dunia serta persaingan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, yang memberi kesan langsung kepada perdagangan dan pelaburan ASEAN.

Selain itu, jurang ekonomi dalam kalangan negara ASEAN akibat perbezaan KDNK per kapita serta dasar perlindungan beberapa negara bagi melindungi industri tempatan turut menjadi cabaran yang perlu ditangani bersama.

"Dengan landskap cabaran geopolitik yang dihadapi dunia hari ini, saya akui ia semakin sukar untuk dinavigasi. Namun, yang paling penting adalah menekankan peranan ASEAN serta kepentingan negara anggota untuk bersatu dalam menghadapi cabaran yang berpotensi melanda," katanya lagi.

SITI AISHAH MD ISA