KUALA LUMPUR, 24 Disember - Prestasi industri pelancongan Malaysia dijangka terus meningkat tahun hadapan susulan pelbagai inisiatif yang dilakukan kerajaan dan pemain industri.
Pengerusi Konsortium Pakatan Pelancongan Dalam Negeri (MITA), Uzaidi Udanis berkata pihaknya menyasarkan untuk menarik lebih ramai lagi pelancong dari Asia Barat seperti Arab Saudi, Bahrain, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan Jordan selain menerima pelancong dari China dan India.
"Pasaran untuk Asia Barat sekarang ini sangat sengit sebab Thailand menggalakkan lebih ramai lagi pelancong untuk bercuti ke negara mereka. Sebaliknya kita kurang, kalau pergi ke Bukit Bintang agak kurang sikit pelancong Arab. Jadi kita mahu pada bulan depan kita akan memanggil ejen Asia Barat untuk kita tengok balik (meneliti semula) apa yang boleh kita tawarkan kepada pelancong dari sana.
"Bilangan pelancong dari China dan India juga diyakini meningkat tahun hadapan susulan keputusan kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong dari dua negara berkenaan," katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau turut menjangkakan kehadiran pelancong melawat Malaysia pada tahun hadapan melebihi 26 juta orang berbanding pada tahun ini.
Pada awal bulan Disember, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata sebanyak 26 juta pelancong telah direkodkan memasuki negara ini.
Angka itu berdasarkan statistik terkini dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dari tempoh 1 Januari hingga 15 November lepas.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memberi pengecualian visa kepada pelancong dari China dan India untuk memasuki Malaysia selama 30 hari mulai 1 Disember lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah sempena meraikan sambutan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, tahun depan.
Kemudahan itu juga adalah tambahan kepada tempoh pengecualian visa selama 15 hari yang diberikan kepada warga dari negara-negara Asia Barat sebelum ini.