fb fb fb fb fb

Misi pengaman di Lubnan, kumpulan kedua MALBATT 850-11 berlepas hari ini

Kumpulan kedua Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi pengaman dan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Shah Alam / Foto Bernama

PETALING JAYA, 7 November - Kumpulan kedua Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi pengaman dan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata ia sebagai usaha merealisasikan komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku misi pasukan pengaman di bawah panji-panji PBB, khususnya di Lubnan.

Katanya, kumpulan kedua itu terdiri daripada 16 pegawai dan 193 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tujuh anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, diketuai Timbalan Komander MALBATT 850-11, Lt Kol Zainol Abdul Samad.

"Tidak dinafikan penglibatan ATM melalui kontinjen MALBATT ke Lubnan ini jelas berjaya mendapat pengiktirafan dan kepercayaan antarabangsa.
Peranan dan penglibatan ini membuktikan Malaysia sangat komited dalam melaksana misi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua MALBATT 850-11 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, di sini.

Tambah Adly, penugasan kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik Israel-Palestin yang tercetus sejak 7 Oktober lepas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN