SINTOK, 7 Disember- Lawatan delegasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengeratkan lagi kerjasama akademik, penyelidikan dan penerbitan dengan beberapa institusi pendidikan tinggi di Indonesia.
Menurut Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, lawatan tersebut merupakan sebahagian pelaksanaan program di bawah memorandum persefahaman (MoU) UUM dengan beberapa institusi pendidikan di Indonesia yang dimeterai Mei lalu.
Lawatan bermula 1 Disember selama seminggu itu memberi peluang kepada wakil SMMTC untuk membentangkan kertas kerja selain mengemukakan cadangan kerjasama erat di dalam aktiviti akademik seperti penyelidikan bersama dan penerbitan.
Turut diadakan adalah program pendedahan terperinci mengenai praktis perhubungan awam serta amalan media massa di Indonesia kepada 20 mahasiswa SMMTC yang menyertai delegasi tersebut menerusi Program Mobiliti Mahasiswa.
Program akademik ini membolehkan mahasiswa SMMTC UUM dan Universitas Mercu Buana Jakarta, Universitas Pancasila dan Politeknik Tempo saling bertukar pendapat dan memahami trend media di Malaysia dan Indonesia.
Pengiktirafan kepakaran pensyarah SMMTC UUM terserlah apabila beberapa universiti di Jakarta tersebut mengundang mereka menyampaikan lima syarahan umum dan tiga syarahan jemputan untuk berkongsi perkembangan terkini di dalam bidang akademik melibatkan pensyarah SMMTC.
Syarahan umum disampaikan Dr. Mohd Khairie sendiri dengan topik berkaitan trend kajian komunikasi, manakala satu lagi syarahan disampaikan oleh Timbalan Dekan (Alumni dan Hal Ehwal Pelajar SMMTC), Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad mengenai kajian kualitatif.
Dalam pada itu, dua lagi pensyarah SMMTC dijemput menyampaikan syarahan di Universitas Muhammadiyah Jakarta, (UMJ) melibatkan Prof. Madya Dr. Romlah Ramli yang membentangkan kertas kerja mengenai kajian dari aspek budaya manakala, Dr. Adibah Ismail dengan tajuk berkaitan kewartawanan sosial.
“Pihak UMJ bersetuju melaksanakan penyelidikan bersama SMMTC UUM menerusi geran padanan dan UUM dianggap oleh UMJ sebagai antara universiti terbaik di Malaysia yang dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti penyelidikan akademik termasuk penerbitan.
“SMMTC melihat peluang ini sebagai platform tepat bagi meneroka lebih banyak kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi serantau yang lain selaras dengan pengiktirafan QS Ranking yang melekatkan program komunikasi dan media sebagai 250 terbaik dunia manakala program berkaitan multimedia antara 650 terbaik dunia” jelas Dr. Mohd Khairie.
Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad membentangkan kertas kerja
di Seminar Antarabangsa Mengenai inovasi untuk Kemampanan Tamadun Islam
anjuran Universitas Al-Azhar Indonesia
Selain UMJ, delegasi turut menyertai Seminar Antarabangsa Mengenai Inovasi untuk Kemampanan Tamadun Islam anjuran Universitas Al-Azhar Indonesia.
Dalam seminar tersebut Dr. Mohd Khairie turut diundang menyampaikan syarahan umum bertajuk, Konsepsi MADANI di dalam Rangka Kerja Komunikasi untuk Pembangunan Mampan.
“Kami bersetuju untuk membentuk kerjasama dengan universiti ini yang sedang dalam misi menjadi Center of Research on Islamic Civilisation (CRIC). Bagi tujuan itu, SMMTC akan bekerjasama di dalam bidang penyelidikan menerusi geran padanan bermula tahun hadapan untuk mengkaji indeks komunikasi lestari dari perspektif Islam. Selain itu, kedua-dua pihak akan menghantar pensyarah pelawat bagi setiap semester pengajian selain terlibat di dalam bidang penerbitan bersama,” menurut Dr. Mohd Khairie.
Hasil lawatan ini juga, ketiga-tiga universiti ternama di Indonesia ini bersetuju menjadi rakan strategik dan bekerjasama bagi penganjuran International Conference on Communication and Media pada tahun hadapan (i-COME’24).