SEPANG, 24 April- Satu misi kemanusiaan digerakkan ke Turkiye hari ini bagi membantu rakyat Turkiye dan Syria yang terkesan akibat gempa bumi.
Ia atas inisiatif Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Briged Negaraku dan Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia (MyVOC).
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kerajaan negeri Melaka bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Briged Negaraku turut melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan bagi membantu kedua-dua negara tersebut.
Selain menerima sumbangan sebanyak RM400,000 daripada tabung yang dilancarkan sebulan lalu.
Menurut Akmal, "di Turkiye nanti kita akan bekerjasama dengan sebuah NGO di sana. Selain itu, kita juga telah meminta rumah ganti berupa kabin yang diubah suai dan dilengkapi dengan bilik dan tandas untuk penduduk yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda.
"Manakala di Syria, kita akan berikan kotak-kotak makanan serta wang tunai yang akan diserahkan kepada pelarian. Kita juga ada 145,000 keping roti yang akan diberikan kepada penduduk yang terjejas," katanya kepada media sebelum berlepas pada Majlis Pelepasan Misi Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Turkiye dan Syria Kerajaan Negeri Melaka dan Bridged Negaraku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.
(Muhamad Akmal Saleh)