KUALA LUMPUR, 28 November - Misi penghantaran bantuan kemanusiaan ketiga Ops Ihsan ke Gaza, Palestin dijangka dilaksanakan 17 Disember ini.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata bantuan kemanusiaan itu akan membawa 60 tan barangan keperluan asas terutamanya barangan perubatan.
"Semua bantuan yang telah kita salurkan dalam misi pertama dan misi kedua, alhamdulillah sudah sampai dan InsyaAllah misi ketiga akan kita terbangkan 17 Disember akan datang ini untuk kita terbangkan 60 tan barangan kebanyakannya bantuan keperluan perubatan," katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang bertanyakan langkah dan usaha Kementerian Luar untuk melaksanakan Hab Kemanusiaan Rakyat Malaysia (MHH) di sempadan Rafah, Mesir bagi melancarkan bantuan kemanusiaan dan sukarelawan Gaza.
Tambah Mohamad, Malaysia berjaya membuat penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan yang tiba di Gaza pada 10 November lepas manakala penghantaran kedua membawa 16 tan barangan bantuan tiba di Mesir pada 11 November lalu.