fb fb fb fb fb

Minyak sawit lebih stabil, OleoRangers pupuk kesedaran pilih minyak masak mampan

Pengunjung diberi pendedahan kelebihan produk sawit/Foto UM

KUALA LUMPUR, 15 Mac -Makanan merupakan salah satu faktor paling penting dalam memastikan kesihatan. Makanan secara harfiah akan menjadikan siapa kita dan mempengaruhi keadaan kesihatan kita, seperti pepatah, "kita adalah apa yang kita makan” (we are what we eat).

Ketersediaan 17 jenis minyak sayuran dan lemak haiwan dalam pasaran lebih menyulitkan keadaan kerana pemilihan yang tepat, aplikasi, dan pengendaliannya telah dianggap remeh oleh sesetengah komuniti.

Menyedari ada ruang untuk diperbaiki, Universiti Malaya (UM) menganjurkan satu pameran bagi memberi pendedahan kepada komuniti berkenaan industri sawit termasuk menyalurkan maklumat tepat mengenai minyak masak dalam pelbagai aspek.

Pameran ‘Navigating Sustainability: The Palm Oil Map to a Greener Future!’ itu diadakan di Dataran Sains, Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran digerakkan melalui Projek Penyelidikan OleoRangers@UM Living Lab, diketuai Dr. Noordini Mohamad Salleh bersama-sama Prof. Madya Dr. Cheng Sit Foon, dan Dr. Muhammad Aqmal Othman.

Menurut Ketua Penyelidik, Dr. Noordini, program bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai dalam pemilihan, penggunaan serta pengendalian minyak masak yang betul.

“Program seperti ini akhirnya akan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang melibatkan SDG 12 - Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab; dan SDG3 - Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik,” katanya kepada RTM.

Pameran julung kali itu bertemakan ‘Awareness Creation, Knowledge Enhancement and Optimum Utilisation of Cooking Oils’ mendapat sokongan padu dari Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak Malaysian (MOSTA), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Profes Lipid Sdn. Bhd.

OleoRangers@UM Living Lab ditubuhkan bawah peruntukan penyelidikan yang disalurkan melalui Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) bagi memberi kesedaran tentang minyak masak dalam pelbagai aspek seterusnya melahirkan komuniti berpengetahuan tinggi tentang apa yang mereka makan.

Berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan, secara amnya komuniti masih mempunyai ruang untuk memperkasakan ilmu dan pemahaman mengenai minyak masak yang lazimnya digunakan dalam penyediaan makanan harian.

Ini menunjukkan masih wujud kekeliruan yang jelas dan amalan buruk dalam pemilihan, penggunaan dan pengendalian minyak masak. Keadaan bertambah buruk dengan pengaruh media sosial yang sering merendahkan kebaikan minyak sawit berbanding jenis minyak lain seperti minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak canola, dan minyak bunga matahari.

Hakikatnya minyak sawit merupakan minyak masak paling stabil pada suhu tinggi; menjadikan minyak sawit sebagai pilihan tepat untuk menggoreng makanan; fakta yang wajib diketahui umum.

Minyak masak lain seperti minyak soya, minyak bunga matahari, minyak canola dan minyak zaitun tidak mempunyai kestabilan pengoksidaan sebaik minyak sawit.

Bukan itu sahaja, minyak masak sawit juga mempunyai kesan profil kolesterol yang baik seperti minyak zaitun, berdasarkan hasil kajian saintifik. Hal ini tidak diketahui orang ramai, malah minyak sawit sering diperkatakan kurang sihat berbanding minyak zaitun.

Melihat keperluan itu, penyelidik bersama Profesor Madya Dr. Cheng Sit Foon yang juga merupakan Ketua, Unit of Research on Lipids (URL), berhasrat untuk meneruskan misi OleoRangers dengan menyalurkan maklumat dan pengetahuan mengenai industri minyak dan lemak secara umumnya, dan industri sawit khasnya, sekali gus melahirkan komuniti berlandaskan pengetahuan.

MAT YUNUS BIN SABRI