fb fb fb fb fb

Mini KUD @Kota Samarahan dijangka tarik lebih 30,000 pengunjung

Datuk Rubiah Wang ketika menjadi tetamu program temu bual Sarawakfm

KUCHING, 1 Februari- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan 30,000 pengunjung akan membanjiri Karnival Usahawan Desa (Mini KUD) yang berlangsung bermula hari ini hingga 4 Februari di Halaman Samarahan, Kota Samarahan.

Timbalan Menteri, Datuk Rubiah Wang berkata, lebih 100 usahawan seperti usahawan makanan dan minuman, kraftangan, pertanian serta fesyen akan terlibat pada Mini KUD tersebut dengan sasaran jumlah jualan dianggarkan RM300,000.

Beliau berkata, program anjuran ini turut melibatkan lima agensi dibawahnya iaitu MARA, Felcra, Kemas, Risda dan Perda itu turut mendapat kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan.

"Tujuan utama Mini KUD ini diadakan ialah untuk melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar yang menceburi perniagaan lebih berdaya maju, selain kita menyediakan platform pengiklanan dan memastikan mereka didedahkan kepada teknologi baharu perniagaan, khususnya pendigitalan,"katanya ketika menjadi tetamu di Sarawakfm.

Jelas Datuk Rubiah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW dijangka merasmikan program berkenaan, esok.

Beliau dijangka menyampaikan beberapa Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress kepada 39 penerima dengan jumlah bantuan RM6.54 juta.

Turut akan disampaikan, bantuan Program Keusahawanan Sarawak kepada 537 penerima, melibatkan peruntukan RM3.83 juta dan RM889,000 kepada enam penerima bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa.

NAZIRATUL BALQIS BINTI AHMAD HAMIDI