Sambutan Minggu Perpaduan 2026 bermula melibatkan enam zon

Minggu Perpaduan 2026 disambut sepanjang April hingga Jun, bermula di Zon Timur

PUTRAJAYA, 3 April – Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2026 akan dilaksanakan di enam zon seluruh negara bermula April hingga Jun ini bagi menyemarakkan semangat perpaduan serta meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap kepelbagaian adat dan budaya di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perasmian SMP 2026 dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 13 Jun.
  • Tahun keempat pelaksanaan, tema "Bersama Membina Negara Bangsa".
  • Perpaduan sebagai benteng utama mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan Malaysia MADANI.
  • Aktiviti merangkumi sukan rakyat, Pameran Rumah KAMI, Perkampungan Etnik, Jejak Harmoni, Wacana Negara Bangsa, Larian Uniti dan persembahan silang budaya.

Majlis perasmian SMP 2026 dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Jun.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sambutan kali ini merupakan tahun keempat pelaksanaan program berkenaan dengan tema “Bersama Membina Negara Bangsa.”

“SMP bukan sekadar acara signature Kementerian Perpaduan Negara (KPN), malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh keharmonian dan memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perpaduan yang utuh adalah benteng utama dalam mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan Malaysia MADANI.

Datuk Aaron berkata program tahunan itu bertujuan memperluas pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap nilai perpaduan sebagai asas keharmonian negara.

Menurut kenyataan itu, sambutan berkenaan akan dimulakan di Zon Timur dari 9 hingga 11 April di Pusat Beli Belah AEON Kota Bharu, Kelantan, diikuti Zon Utara pada 23 hingga 26 April di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

KPN memaklumkan sambutan seterusnya akan diadakan di Zon Sarawak dan Zon Selatan masing-masing pada 8 hingga 10 Mei di Boulevard Shopping Mall, Miri serta Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka.

Bagi Zon Tengah, program dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Mei di Muzium Negara, Kuala Lumpur, manakala acara peringkat kebangsaan akan diadakan pada 11 hingga 14 Jun di pekarangan Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Aktiviti menarik akan disediakan kepada pengunjung daripada pelbagai lapisan umur termasuk Pertandingan Sukan Rakyat Perpaduan, Pameran Rumah KAMI (Rumah Etnik), Perkampungan Etnik, Jejak Harmoni, Wacana Negara Bangsa, Larian Uniti, pameran Muzium dan Arkib, persembahan silang budaya serta jualan produk ekonomi komuniti Rukun Tetangga.- BERNAMA