KUALA LUMPUR, 26 Februari- Seramai satu juta peserta disasar menyertai Minggu Latihan Kebangsaan (NTW), pada Jun, selaras dengan Kepengerusian ASEAN.
Sebanyak 70,000 program dan latihan ditawarkan meliputi 1,000 aktiviti berimpak tinggi dianjurkan di seluruh negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata menerusi Gerakan Pembangunan Kemahiran Malaysia, peserta dapat menikmati akses percuma pembelajaran dan pembangunan.
"Sempena dengan Kepengerusian ASEN kita tahun ini, 'National Training Week' (NTW) di Malaysia ini juga akan berkolaborasi ataupun bekerjasama dengan rakan-rakan strategik kita di rantau ini, di negara-negara ASEAN yang lain, jiran-jiran kita, membolehkan NTW ini bukan sahaja menjadi satu karnival latihan kemahiran kebangsaan yang terbesar, tetapi juga dengan kerjasama rakan-rakan di ASEAN. Kita akan menjadi satu karnival latihan kemahiran serantau yang terbesar di dunia", katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
NTW 2025 akan menampilkan beberapa program utama termasuk forum menteri melibatkan perbincangan kritis penggubal dasar dan pemimpin industri bagi transformasi tenaga kerja.
Selain itu, Program Inklusi Neurodiversiti dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran kebolehpasaran pekerjaan individu.
Aktiviti utama program itu akan berlangsung di seluruh negara pada 14 hingga 21 Jun 2025.