MINDEF perkasa budaya inovasi, lancar platform i-Mind

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin pada sambutan Hari Inovasi peringkat Kementerian Pertahanan 2026 / Foto Facebook Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR, 12 November – Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited memperkasa pembudayaan inovasi dalam kalangan warganya sebagai pemangkin kepada peningkatan kecekapan dan keberkesanan fungsi kementerian berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri tekankan inovasi mesti diterapkan sebagai budaya kerja berterusan, bukan sekadar program bermusim.
  • Pelancaran i-Mind sebagai bank data berpusat menghimpun maklumat produk, projek dan pencapaian inovasi termasuk ATM.
  • i-Mind dijangka memperkukuh pengurusan inovasi, menyokong keputusan strategik dan membuka akses awam untuk penilaian serta pengkomersilan.
  • Penghargaan kepada pemilik 10 paten, perkenalan Pin Defence Innovator dan kejayaan MINDEF raih pingat di IID 2026.

Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin berkata pembudayaan inovasi penting bagi memastikan setiap penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata amalan inovasi tidak seharusnya terhad kepada penganjuran program yang bersifat bermusim sebaliknya, perlu terus diterapkan sebagai sebahagian budaya warga kerja kementerian.

“Kita sedia maklum bahawa inovasi amat penting kerana setiap usaha yang digerakkan untuk menjayakannya pasti akan membolehkan penambahbaikan dilakukan secara berterusan.

“Justeru, kualiti kerja serta penyampaian perkhidmatan kita akan menjadi jauh lebih baik seterusnya membolehkan kita memberikan khidmat yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Inovasi peringkat Kementerian Pertahanan tahun 2026 di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Malek Razak Sulaiman.

Sementara itu, dalam usaha memperkasa ekosistem inovasi, MINDEF turut melancarkan bank data berpusat dikenali i-Mind pada majis berkenaan.

i-Mind, platform bersepadu yang menghimpun dan menyelaras maklumat produk, projek serta pencapaian inovasi warga kementerian termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara digital.

Datuk Seri Khaled berkata pelancaran i-Mind akan memperkukuh pengurusan inovasi dan pembuatan keputusan strategik MINDEF, selain akses kepada orang awam akan dibuka untuk penilaian serta mengenal pasti produk berpotensi untuk dikomersialkan.

Pada majlis sama, penyampaian penghargaan diberikan kepada pemilik 10 paten inovasi Kementerian Pertahanan, di samping perkenalan Pin Defence Innovator sebagai pengiktirafan rasmi kepada warga pertahanan yang berjaya menghasilkan inovasi berimpak tinggi.

Selain itu, penghargaan turut dianugerahkan kepada para pemenang Indonesia Inventors Day (IID) 2026 yang mencatat kejayaan membanggakan apabila kesemua enam produk inovasi MINDEF meraih pengiktirafan meliputi empat pingat emas, dua pingat perak dan tiga Anugerah Khas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.