DUBAI, 19 Nember- Hari pertama Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@Dubai 2024 menyaksikan nilai jualan eksport mencecah RM500 juta sekali gus mempamerkan prestasi memberangsangkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin, berdasarkan prestasi itu, nilai jualan eksport keseluruhan mampu melepasi sasaran ditetapkan berjumlah RM1 bilion.
"Mengikut unjuran RM1 bilion tetapi sebenarnya hari ketiga mereka akan dapat RM1.2 bilion seperti saya ucapkan malam tadi," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke reruai pempamer tempatan, pada hari kedua penganjuran acara itu di Pusat Dagangan Dunia Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini.
Ahmad Zahid menyifatkan penganjuran MIHAS di luar negara telah meningkatkan ekosistem halal Malaysia dengan menyediakan platform kepada 215 syarikat tempatan untuk menonjolkan kecemerlangan dan kepelbagaian produk serta perkhidmatan halal.
Pameran berkenaan juga turut membuka lembaran baharu bagi perniagaan menembusi pasaran Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) yang kini mencecah lebih 490 juta pengguna.
Dalam pada itu sempena Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berlangsung tahun depan pameran sama akan turut dianjurkan di Kuala Lumpur.