
KUALA LUMPUR, 13 Januari – Dasar yang kukuh perlu disokong dengan pelaksanaan yang memberi impak nyata kepada rakyat, khususnya dari segi kualiti pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
- Fokus kepada kualiti pelaburan, bukan hanya jumlah diluluskan atau direalisasi.
- Menilai kesan limpahan ekonomi seperti penciptaan pekerjaan pembinaan dan kandungan tempatan.
- MIDA menekankan kesaksamaan dan impak jangka panjang dalam pembangunan pelaburan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tumpuan terhadap pelaburan tidak boleh sekadar melihat jumlah pelaburan yang diluluskan atau direalisasikan, sebaliknya perlu menilai hasil dan kesan limpahan yang diwujudkan kepada ekonomi negara.
“Sebagai contoh, pengurusan pusat data tidak mewujudkan banyak pekerjaan secara langsung. Namun, apabila sebuah pusat data dibina, ia melibatkan kerja pembinaan.
“Dari segi kandungan tempatan pula, kita telah menekankan penggunaan lebih banyak produk dan perkhidmatan tempatan dalam pembangunan pusat data, yang dihasilkan oleh syarikat Malaysia atau syarikat yang beroperasi di Malaysia”, katanya.
Beliau berkata demikian pemberita dalam sesi khas MIDA bersama media di sini hari ini.
Tambahnya, pembinaan pusat data memainkan peranan penting dalam menyediakan kuasa pengkomputeran yang diperlukan syarikat teknologi, meskipun kesan limpahannya belum dapat dilihat sepenuhnya.
“Contohnya, Singapura membangunkan pusat data lebih awal dan kini berjaya menarik pelbagai syarikat teknologi besar.
“Yang penting ialah memastikan pembangunan pusat data menghasilkan kesan limpahan yang betul”, jelas beliau.
Beliau turut menegaskan, agensi itu juga akan memberi tumpuan bukan sahaja kepada jumlah pelaburan, tetapi juga kepada kualiti, kesaksamaan, dan impak jangka panjang terhadap ekonomi negara.