fb fb fb fb fb

MIB usaha wujudkan persekitaran mesra pelabur

Datuk Khaidhirah Abu Zahar

AYER KEROH, 8 Mac- 29 Jabatan dan Agensi di Melaka dilantik sebagai Sekretariat 'Melaka Industrial Booster' (MIB) sebagai usaha mewujudkan persekitaran mesra pelabur di negeri itu.

Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET) Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, mereka akan bertindak sebagai pemudah cara bagi mengelakkan permasalahan birokrasi melibatkan para pelabur.

Ia antara usaha penambahbaikan kerajaan negeri dalam mempercepatkan proses permohonan pelan pemajuan pelabur terutama melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Yang saya lihat adalah legging dia bukan apa adalah apabila terlalu banyak menunggu antara jabatan-jabatan ini untuk dapatkan masing-masing punya maklum balas dan reaksi.

"Kadang-kadang dia ada pertindihan jawapan, dan keputusan antara jabatan ini, ia membuatkan pelabur atau perunding jadi keliru. Jadi saya yakin ini akan mempercepatkanlah," katanya semasa Perlantikan Sekretariat 'Melaka Industrial Booster' (MIB) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

MIB adalah proses 'fast lane' bagi pemajuan kategori industri yang melibatkan pengeluaran permit, proses permohonan, kelulusan pembinaan, pengeluaran Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) hingga ke lesen operasi.

Dalam pada itu, pihaknya komited dalam meningkatkan kemudahan pelaburan untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi utama pelaburan di Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI