fb fb fb fb fb

MetMalaysia keluarkan amaran hujan lebat hingga Rabu

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dan waspada di tujuh negeri, termasuk Pantai Timur, yang diramal berlaku sehingga Rabu / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dan waspada di tujuh negeri, termasuk Pantai Timur, yang diramal berlaku sehingga Rabu ini.

MetMalaysia memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka melanda lima daerah di Pahang, iaitu Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran, dan Rompin, selain Kemaman dan Dungun di Terengganu.

"Kelantan dan Perlis dijangka mengalami hujan berterusan tahap waspada dalam tempoh yang sama, bersama dengan beberapa kawasan di Perak dan Kedah, termasuk Hulu Perak, serta Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, dan Baling di Kedah," menurut MetMalaysia menerusi kenyataan.

Selain itu, cuaca yang sama dijangka berlaku di beberapa kawasan lain di Pahang, termasuk Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, dan Bera; Terengganu di kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, dan Marang; serta Johor di Segamat, Mersing, dan Kota Tinggi.

MetMalaysia menasihatkan penduduk di kawasan yang terlibat untuk sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah-langkah keselamatan bagi menghadapi kemungkinan banjir atau risiko lain akibat hujan lebat tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN