KUALA LUMPUR, 28 Disember- Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini, berkuat kuasa sehingga esok (29 Disember).
METMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan amaran tersebut melibatkan beberapa kawasan di Pahang dan Johor.
"Analisis terhadap model-model cuaca terkini menunjukkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 29 Disember 2025. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan ditimur Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut."
"Kawasan terlibat di Pahang ialah Kuantan, Pekan dan Rompin manakala di Johor melibatkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi," kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora juga masih berkuat kuasa sehingga esok bagi Laut China Selatan termasuk perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.
Pada masa yang sama, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang juga dijangka di pantai barat Semenanjung.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya hujan berterusan yang boleh menyebabkan banjir kilat, kenaikan paras air sungai serta gangguan aktiviti harian.
MET Malaysia turut menyarankan agar orang ramai turut cakna dalam mendapatkan maklumat cuaca semasa melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mudah alih myCuaca serta platform media sosial rasmi METMalaysia.