fb fb fb fb fb

Meta belum beri maklumat tepat punca turunkan kandungan media sosial PM

FOTO FAIL

PUTRAJAYA, 7 Ogos - Kerajaan belum menerima maklumat tepat daripada Meta Platforms Inc (Meta) berhubung tindakan menurunkan sebahagian kandungan di akaun Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Meta bersedia mengadakan perbincangan, memberikan dan menerima maklum balas serta input daripada kerajaan mengenai perkara itu.

"Sehingga pertemuan pada Isnin lalu, kita tidak mendapat maklumat tepat mengenai apa sebenarnya yang mengakibatkan konten-konten, kandungan-kandungan yang telah dimuat naik dalam Facebook Perdana Penteri dan Instagramnya diturunkan," kata Fahmi.

Sebelum itu Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri telah memanggil Meta untuk memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Semalam, Anwar dilapor sudah menerima permohonan maaf daripada Meta berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di akaun Facebook dan Instagram milik beliau.

Pada Isnin, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri telah memanggil Meta untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pula melahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Anwar di platform Facebook serta Instagram pada 14 Mei dan 30 Julai lepas, yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini.

Fahmi turut meminta semua pihak termasuk pengamal media untuk memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung apa jua siasatan yang dilaksanakan oleh pasukan keselamatan itu.

"Saranan saya adalah untuk beri kerjasama dengan baik. Bagaimanapun, seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini dari segi sumber, kita di Kementerian Komunikasi hormati hak rakan media lindungi maklumat mengenai apa disebut sebagai whistleblower atau pemberi maklumat.

"Namun undang-undang sedia ada (masih) terpakai,” katanya.

Portal media tempatan sebelum ini melaporkan satu siasatan akan dijalankan oleh PDRM berhubung laporan sebuah portal yang menyiarkan berita mengenai rombakan besar-besaran dalam kepimpinan tertinggi polis.

TETITIA YUSOFF