fb fb fb fb fb

Mesyuarat NACCOL minggu depan, putuskan harga kawalan beras - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Jualan Termurah MADANI di Bandar Perda, Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM, 16 Februari  - Harga kawalan beras akan diputuskan minggu depan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat yang sepatutnya bersidang lebih awal itu, ditangguhkan ke minggu depan bagi memasukkan isu yang lebih mendesak.

Beliau berkata, isu kawalan beras akan menjadi antara agenda utama.

“Kita tangguh mesyuarat NACCOL ke minggu depan, di mana kita akan putuskan secara muktamad tentang harga beras yang dikawal. Walaupun ia (harga) tidak boleh rendah sangat, namun saya yakin boleh dikurangkan jika kita lihat semula dan teliti bekalan dapat dari mana, siapa kontraktor dan berapa banyak keuntungan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jualan Termurah MADANI di Bandar Perda, di sini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan ‘Orang tengah’ agar tidak mengambil keuntungan terlalu tinggi yang akan menyebabkan kenaikan harga di pasaran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN