KOTA TINGGI, 13 Julai-Mesyuarat Menteri Luar ASEAN yang bakal diadakan di Laos minggu depan bakal membincangkan pelbagai perkara termasuk isu Myanmar, Laut China Selatan selain kesalinghubungan ASEAN.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata persidangan dijadual selama lima hari bukan sahaja membabitkan negara ASEAN, tetapi juga bersama rakan dialog, termasuk Amerika Syarikat (AS), Russia, China, Jepun, Australia, New Zealand, India dan United Kingdom (UK).
"Ini yang akan kita bincangkan ASEAN sebagai komuniti yang besar untuk kita menjadi satu blok yang menjadi penduduk lebih 600 juta, GDP dunia yang kelima terbesar dan akan menjadi GDP ke-4 terbesar dunia dalam masa 2 atau 3 tahun lagi.
"Jadi ini merupakan satu asas yang boleh kita bina untuk masa depan supaya ASEAN akan menjadi satu kesatuan tetapi masih lagi kedaulatan masing-masing dan mengamalkan dasar berkecuali iaitu ASEAN bebas, aman dan berkecuali", katanya demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tenggara Di Felda Sungai Sayong di sini.
Mohamad turut berkata 19 siri mesyuarat merangkumi pelbagai topik dijadual dibincangkan di Laos yang menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.
Jelasnya, Malaysia bakal menerima watikah atau obor untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025 Oktober depan pada mesyuarat ketua-ketua negara ASEAN.
Menurutnya, Malaysia telah menyusun atur sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan pemimpin negara, menteri dan pegawai yang akan diadakan tahun hadapan.