fb fb fb fb fb

Merancakkan pertumbuhan ekonomi jadi fokus kerajaan tahun 2024

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 3 Januari - Merancakkan pertumbuhan ekonomi menjadi fokus utama kerajaan MADANI bagi tahun 2024 dengan memberi keutamaan dalam mendorong pelabur dalam dan luar negara membuat pelaburan di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata amanat itu ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesyuarat pertama Jemaah Menteri untuk tahun ini yang diadakan hari ini.

"Perdana Menteri juga memberi beberapa pandangan mengenai fungsi yang akan dimainkan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan ini penting bukan hanya untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara tetapi ada sedikit penyelarasan yang perlu dilakukan," katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika diperlukan berhubung siasatan dana publisiti RM700 juta oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya setakat ini tiada pemakluman daripada SPRM yang menghendaki Kementerian Komunikasi membantu siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata suruhanjaya itu sedang menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022 yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN