fb fb fb fb fb

Menunggang dengan aksi 'superman', pemandu p-hailing mengaku tidak bersalah

Muhammad Nur Aiman Ismail didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di LPT1

TEMERLOH, 9 Februari- Seorang pekerja p-hailing mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh, atas kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) pada Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Nur Aiman Ismail, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamed Shah Reza Noor Azman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya di Kilometer 96.3 sehingga Kilometer 98 LPT1 arah timur, kira-kira pukul 5.00 petang pada 4 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda hingga RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi dan tertuduh diwakili peguam, Mazieera RA Sharifuddin.

Mazieera memberitahu, tertuduh masih bujang dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan, turut menanggung ibu bapa dan adiknya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, dan kes disebut semula, pada 14 Mac depan.

Ahad lalu, tertuduh menunggang motosikal dengan aksi ala 'Superman' berjaya dirakam pengguna LPT-1 dan tular di media sosial.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI