fb fb fb fb fb

Menteri Luar Argentina adakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari

Menteri Luar Negeri Republik Argentina, Diana Mondino

KUALA LUMPUR, 18 Mac- Menteri Luar Negeri Republik Argentina, Diana Mondino akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan memberitahu, ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas menyandang jawatan sebagai Menteri Luar Negeri pada Disember lepas.

Pada lawatan tersebut, Diana dijadual mengadakan kunjung hormat ke pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Pada pertemuan itu, kedua-dua menteri akan mengutarakan perkara berkaitan perkembangan serantau dan antarabangsa termasuk hubungan Malaysia dengan 'Southern Common Market', kerjasama ASEAN- Argentina dan konflik Palestin-Israel.

Selain itu, Diana juga dijadual mengadakan pertemuan bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagu membincangkan kerjasama dalam sektor pertanian dan Halal.

Diana juga akan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri l, Liew Chin Tong dan menyertai perbincangan meja bulat bersama para pelabur.

Republik Argentina merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dan jumlah dagangan pada 2023 adalah bernilai RM8.23 bilion.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE