fb fb fb fb fb

Menteri Luar adakan lawatan rasmi tiga hari ke China, teroka bidang kolaborasi baharu

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 23 hingga 25 April ini, yang pertama sejak beliau memegang jawatan itu pada Disember 2023 / Foto FB Wisma Putra

PUTRAJAYA, 23 April - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan rasmi ke China dari 23 hingga 25 April ini, yang pertama sejak beliau memegang jawatan itu pada Disember 2023.

Kementerian Luar pada Selasa memaklumkan Menteri Luar itu akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wang Yi di Beijing untuk membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

"Pertemuan tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala dan meneroka bidang kolaborasi baharu," kata kementerian itu menerusi kenyataan.

Lawatan itu penting kerana Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun ini.

Mohamad juga dijadualkan bertemu dengan Liu Jianchao, Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat dan pegawai-pegawai kanan lain dari Parti Komunis China serta akan mengadakan sesi libat urus dengan diaspora Malaysia.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk lima belas tahun berturut-turut. Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM450.84 bilion.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN