Menteri Luar adakan lawatan kerja ke Washington

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Februari – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) pada 3 dan 4 Februari 2026 atas jemputan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri mengenai Mineral Kritikal di Washington, D.C.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh kerjasama dua hala Malaysia-AS dalam mineral kritikal untuk sokong pertumbuhan ekonomi mampan dan pembangunan teknologi.
  • Mengadakan pertemuan dua hala membincangkan pelaburan, penyelidikan bersama, inovasi, dan pembangunan kapasiti industri.
  • Mengukuh Perkongsian Strategik Komprehensif susulan Memorandum Persefahaman bagi rangkaian bekalan mineral kritikal global.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu merupakan peluang penting untuk memperkukuh penglibatan dua hala antara Malaysia dengan AS, khususnya dalam bidang kerjasama mineral kritikal yang penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, memajukan pembangunan teknologi serta membina rantaian bekalan yang kukuh dan pelbagai.

Semasa lawatan berkenaan, Menteri Luar dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan bagi membincangkan perkara berkepentingan bersama termasuk peluang pelaburan, penyelidikan bersama, inovasi, pembangunan kapasiti dan kerjasama industri.

Lawatan itu juga bertujuan memperkukuh usaha di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-AS yang dinaik taraf pada 26 Oktober 2025.

Kenyataan itu memaklumkan lawatan berkenaan membina momentum daripada Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara mengenai kerjasama memperkembangkan rantaian bekalan mineral kritikal global serta meningkatkan pelaburan dalam sektor strategik berkenaan.

Pada 2025, perdagangan Malaysia dengan AS meningkat 13 peratus kepada RM367.47 bilion berbanding RM325.16 bilion pada 2024.

Eksport Malaysia ke AS meningkat 17.2 peratus kepada RM233.08 bilion manakala import meningkat 6.4 peratus kepada RM134.39 bilion.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan