fb fb fb fb fb

Menteri Agama tegur klip promosi drama undang maksiat

(Tegas Idris, industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin beliau halangi,
tapi jika ia mencemarkan fitrah dalam agama, beliau tidak boleh membiarkan ia berlaku tanpa dinasihati/FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menzahirkan rasa khuatir beliau berkait klip promosi tayangan sebuah drama yang mengundang maksiat.

Menerusi perkongsian di Facebook, Idris berkata beliau akan menghubungi pihak terbabit supaya perkara tersebut boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

"Hela nafas panjang saya.

"Apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar Taqwa, namun seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampui batas yang perlu ditegur.

"Hiburan tidak dihalang dalam Islam.

"Namun, tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat.

"Industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin saya halangi, tapi jika ianya mencemarkan fitrah dalam agama, saya tidak boleh membiarkan ianya berlaku tanpa dinasihati.

(Hantaran Facebook Idris/FOTO FB Idris Ahmad)


Pada masa sama, Idris turut menyeru seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan untuk bersiap menghadapi Ramadan yang menjanjikan sejuta hikmah oleh Allah SWT.

"Persiapkan diri, pasangan, keluarga dan masyarakat sekeliling kita agar memeriahkan Ramadan dengan penuh pengharapan dan keinsafan.
"Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela. Moga Allah terus memimpin kita," katanya.

Berhubung klip promosi yang dikatakan Idris dalam hantaran Facebooknya itu, beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci rakaman promosi tayangan berunsur maksiat yang dimaksudkan.

Media Baharu