fb fb fb fb fb

Mencurigakan, 30 warga asing ditahan cuba masuk Malaysia

Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Thailand dan seorang warga Kemboja

BUKIT KAYU HITAM, 1 Februari- Seramai 30 warga asing  ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah ketika cuba  memasuki negara ini dalam keadaan mencurigakan di laluan keluar berhampiran  Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Sempadan (ICQS) berhampiran Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bukit Kayu Hitam, pada 30 Januari lalu .

Kesemua mereka ditahan dalam  operasi  khas yang dilakukan pada pukul 12.30  tengahari.

Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata ketika ditahan, mereka memberi pelbagai alasan antaranya mahu mencari jalan untuk patah balik ke Thailand dan hendak mencari kaunter pertanyaan di situ.

"Kesemua warga asing itu terdiri warga Thailand dan seorang warga Kemboja ditahan ketika mereka menaiki 10 kenderaan  termasuk pikap dan termasuk motosikal.

"Kita berjaya menahan lebih kurang dalam 30 orang, 10 lelaki dan juga 20 perempuan dan daripada analisa kita dapat sebenarnya terdapat lapan orang daripada perempuan wanita yang kita tahan, pasport mereka mempunyai cop manakala 12 daripadanya tidak bercop dengan erti kata lain tiada pengesahan kemasukan ke Malaysia,"katanya.

Katanya lagi 13 daripadanya termasuk lima pemandu kemudian dihantar pulang selepas mendapati mereka tidak memenuhi syarat kemasukan sementara 17 lagi warga asing dari Thailand yang terdiri daripada 12 wanita berusia antara 22 hingga 55 tahun dan lima lelaki yang  disyaki pemandu kenderaan berusia 20 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan  lanjut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta 1955 kerana tidak memiliki suatu pas sah yang dikeluarkan dan Seksyen 8(3) Akta 155 iaitu Imigran larangan seperti penjenayah, pelacur, ekstrimis, terrorist, peminta sedekah, gila dan sebagainya.

Mohd Riddzuan turut memaklumkan laporan polis dibuat membabitkan 17 tangkapan itu dengan kesemuanya direman sekurang-kurangnya 14 hari untuk siasatan lanjut.

Selain itu, pihaknya turut menyita telefon bimbit  serta lima kenderaan termasuk dua buah pikap.

Jelas Mohd Riddzuan, pihaknya masih menyiasat sama ada berkemungkinan wujudnya sindiket atau sebaliknya serta pembabitan pegawai dalaman dalam kes berkenaan atau sebaliknya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sesiapa yang menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan Akta dan Peraturan Imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE