LAHAD DATU, 6 September - Menara telekomunikasi di Kampung Sapagaya kini beroperasi dengan baik selepas menerima aduan berhubung capaian internet yang terjejas, khususnya ketika musim banjir dan gangguan bekalan elektrik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata menara berkenaan kini dilengkapi rangkaian 5G, selain syarikat e-Mobile turut akan memasang peralatan baharu bagi memperluas liputan 5G, melengkapkan kemudahan sedia ada oleh Digital Nasional Berhad (DNB).
Menurutnya, kementerian juga sedang meneliti pemasangan bateri tambahan bagi memastikan rangkaian internet tidak terputus sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
“Menara ini sebelum ini menerima aduan mengenai capaian internet, terutama ketika banjir di kampung berhampiran dan gangguan elektrik. Kini saya lihat ia berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Lahad Datu.
Sehingga Julai lalu, liputan internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai lebih 95 peratus, meningkat berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Selain itu, usaha memperkukuh kualiti liputan turut dilaksanakan dengan penyediaan dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Sapagaya dan Layung Industrial untuk kegunaan komuniti bagi pelbagai perkhidmatan digital.
Langkah itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI bagi meningkatkan ketercapaian digital, memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan agenda pendigitalan negara.