KUALA LUMPUR, 17 April- Pembukaan semula Menara Kuala Lumpur kepada orang ramai akan dilaksanakan selepas kerja penyelenggaraan dan isu keselamatan diselesaikan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata tanggungjawab diberikan kepada syarikat konsesi baharu memandangkan beberapa ruangan di bangunan itu tidak selesa dikunjungi ketika ini.
"Pasukan Kementerian Komunikasi melakukan lawatan ke Menara KL dan melihat sendiri apa yang berlaku. Berdasarkan gambar dan video pasukan, banyak daripada perkakas dapur.
"...dan menara berputar restoran berada dalam keadaan tidak nyaman atau selesa kepada pengunjung. Malah kita lihat pagar di dek diturunkan. Perkara ini agak merisaukan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Mengulas lanjut, Fahmi turut memaklumkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah memasuki premis Menara KL, tengah malam tadi.
Ini berserta notis awal penutupan bertujuan memberi ruang kepada konsesi baharu melakukan persiapan sebelum dibuka semula.
Dalam pada itu, seramai 193 daripada 205 pekerja dari syarikat lama sudah diserap masuk ke syarikat baharu.
Dalam majlis sama seramai enam pengamal menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu meringankan cabaran kehidupan khususnya dari segi kewangan dan kesihatan.
Majlis penyerahan disempurnakan Fahmi bersempena dengan Sambutan Hari Raya Kementerian Komunikasi 2025 di Angkasapuri Kota Media.
Penerima sumbangan terdiri daripada bekas wartawan Media Prima, Aidil Abdul Ghaffar dan Mazlin Nordin, bekas wartawan Karangkraf, Zailani Ahmad serta bekas wartawan The Vibes, Mohd Shahrim Mohd Tampin.
Turut menerima sumbangan, wartawan penyiaran Malaysia Gazette, Nurayuni Johari dan penerbit teknik Bernama, Noor Azizi Abdul Kasim.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.